PADA mulanya beliau tidak menyangka sebatang kayu balak sebesar batang kelapa dan panjangnya hampir dua meter menyelamatkannya daripada dihanyutkan arus deras ketika memancing udang galah di kuala Sungai Baruh (bukan nama sebenar), beberapa tahun lalu.
Ini adalah pengalaman seorang anak muda bernama Sudin daripada keluarga petani yang sering ke sungai berkenaan untuk memburu udang galah sepit biru yang lazat rasanya. Sudin dan Daud, rakan pancing paling rapat bagaikan kembar siam. Selain hobi yang sama memancing udang galah di sungai, mereka adalah pemancing laut yang lasak dan berpengalaman.
Sungai Baruh yang sederhana lebarnya mengalirkan air antara keruh dan jernih ke lubuk serta tebing yang dipenuhi pokok pandan jejawi serta nipah tempat udang galah paling selesa bermain.
Justeru, di situlah pemancing udang galah berpesta dan ini tidak terkecuali dua pemancing yang sinonim dengan sungai berkenaan.
Cerita Sudin baru-baru ini bahawa pengalaman hari itu dianggap misteri antara hidup dan mati walaupun beliau biasa dengan sungai itu.
Pada hari berkenaan, beliau turun memancing berseorangan kerana Daud menghantar ibunya ke hospital. Keadaan cuaca sangat baik. Kesempatan itu beliau ambil dan tidak dapat menunggu Daud pulang.
Berbekalkan makanan ringan dan air minum yang mencukupi, beliau meninggalkan jeti kayu yang menjadi pangkalan sampan pemancing.
Hari itu tidak ramai pemancing yang turun ke sungai. Cuma ada beberapa sampan yang kelihatan berlabuh di lubuk yang sudah dikenal pasti. Sudin mencari lubuk paling jauh ke hulu. Beliau menggelarkan lubuk itu Telaga Emas kerana udang galah di situ bersaiz besar dan dagingnya sedap berbanding udang di kawasan lain.
Sudin seperti biasa menyimbah umpan di lubuk itu sambil berehat. Minum dan menjamah roti canai yang dibawa sebelum turun memancing. Kawasan redup yang tidak jauh dari tebing sungai yang berjurai dengan akar-akar pokok jejawi rendang membuatkan Sudin amat selesa.
Lima batang joran dipasang serentak sambil didahului dengan kalimat Bismillah yang menjadi amalannya selama ini. Lubuk yang sudah dikenali beberapa tahun lalu tidak menghampakan.
Tiga daripada lima batang joran sudah ada sentuhan. Dengan pengalaman yang ada, beliau berjaya mendaratkan tiga ekor udang galah bersepit biru. Sambil itu dua batang joran turut beraksi dalam henjutan yang agak ganas. Sudin berhati-hati melayan batang joran yang dianggap mangsa yang agak besar.
Dalam keadaan berhati-hati mengawal joran beliau merasakan ada yang tidak kena. Sampannya tidak stabil. Tali yang diikat pada dahan pokok jejawi terlucut. Sampan kian kuat bergoyang lalu terbalik dengan tidak dapat dikawal.
Sudin sudah berada dalam air. Dalam keadaan yang kelam kabut itu kakinya tiba-tiba kejang. Seekor buaya timbul lalu menuju ke arahnya, Sudin cemas kerana tidak dapat berenang. Dalam keadaan kritikal itu, beliau sempat berpaut pada sebatang kayu hanyut lalu berpapah naik ke atasnya.
Buaya ganas itu bagaimanapun tidak mengejarnya tetapi bola matanya yang merah itu menampakkan ada menyimpan dendam. Batang kayu menghanyutkan Sudin ke tebing sungai yang rata lagi cetek airnya. Sudin melompat naik dalam keadaan kaki yang masih sakit. Batang kayu berkenaan terus tenggelam sambil melibaskan ekornya sebaik saja Sudin selamat berada di tebing.
Melihat keadaan itu Sudin terpinga-pinga dan terkejut kerana batang kayu tempat beliau bergantung menyelamatkan diri sebentar tadi adalah seekor buaya. Hasil pertolongan itu menyebabkan beliau dapat menyelamatkannya daripada dibaham oleh seekor buaya lain dari lubuk berkenaan.
Sudin masih tercegat di tebing sungai memikirkan seperti dalam satu mimpi atau apa yang pernah dibaca dalam banyak bahan bacaan sebelum ini. Dalam keadaan itu, tiba-tiba buaya besar itu berkenaan muncul kembali dan perlahan-lahan berenang menuju ke lubuk di hulu sungai.
Sudin bersyukur kepada Allah dan menganggap peristiwa itu satu misteri paling cemas dan pelik dalam hidupnya. Beliau tidak dapat membayangkan apakah jenis buaya itu sambil terfikir spesies yang dianggap ganas itu ada kalanya dapat menolong. Sudin menarik nafas panjang dan menamatkan cerita.
sumber joran
Tiada ulasan:
Catat Ulasan