Rocker terkenal, Suhaimi A Rahman, 51, atau Amy Search menyambut kelahiran anak ke kelimanya, petang semalam.
Isteri Amy, Norhasniza Hassan (Norish), 28, selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kilogram, jam 3.55 petang melalui proses pembedahan di Hospital Gleneagles, Ampang.
Amy ketika dihubungi cukup gembira dengan kehadiran bayi diberi nama Qaqa At-Tameemi itu. Malah, sempat berkongsi rahsia keunikan nama dipilihnya.
“Untuk tujuh hari pertama, saya memanggilnya dengan panggilan Muhammad. Tidak ada simbolik atau bernazar sebaliknya, sebagai orang Islam kita semua umat Nabi Muhammad s.a.w.
“Berbalik pada nama anak, Qaqa At-Tameemi membawa maksud ‘ruang kesempurnaan’ dan di dalam sesetengah buku lain membawa pengertian kehidupan sempurna.
“Seindah maksud nama itu, begitulah juga saya harapkan dengan didikan yang bakal diberi serta kebaikan nama itu akan membentuk keperibadian Qaqa sebagai insani,” katanya.
Amy memilih nama itu kerana tertarik kisah Ketua Tentera Islam, Qa’qa’ bin ‘Amr Al-Tameemi, yang cukup disegani dan menjadi sahabat serta orang kepercayaan Rasulullah.
Menurut Amy, Qaqa, anak ketiga hasil perkongsian hidupnya dengan Norish selama enam tahun, sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata, Alexander Zulkarnian, 5, dan Sania Samara, 4 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan