4G Internet Pantas Dengan Kelajuan Maksimum Tanpa Sekatan, Penjimatan Panggilan, Tiada Kecurian Kredit, Tiada PayPerUse Internet yang menghabiskan kredit, Tempoh Kredit Lama, Panggilan Murah 6sen, Kuota Internet boleh bawa kehadapan, SEGALANYA DISINI

Cari Blog Ini

Sabtu, 21 Januari 2012

Panglima Awang Manusia Pertama Keliling Dunia

Generasi kini ramai yang tidak mengenali tokoh ini. Masih jelas dalam ingatan ketika belajar subjek sejarah di tingkatan lima kalau tak silap la, nama Panglima Awang hanya disebut sekali. Itupun hanya ditulis di bahagian kanan iaitu dalam sudut info yang bersaiz kecil dalam buku teks tersebut. Maka tidak hairanlah semakin lama, namanya semakin lupus ditelan zaman.
Pejuang Melayu Islam inilah yang sebenarnya telah membuktikan bumi itu adalah bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke Timur. Masyarakat kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapakah Panglima Awang.


Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Pemuda berketurunan melayu Islam inilah yang membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat. Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.

Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan Barat.

Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511. Kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia adalah sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu Islam sendiri.

Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.

Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.

Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda-pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda-pemuda Melaka yang lain.

Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.

Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.

Pelayaran jauh yang memakan masa yang lama ini akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.

Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.

Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya. Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.

Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.

Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu.

Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol. Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol.

Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.

Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.

Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.

Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.

Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.

Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.

Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.

Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.

Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.

Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan. Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.

Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.

Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.

Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.
Diceritakan Panglima Awang tidak pernah sesat dengan menggunakan kompas ini

Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur. Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.

Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.

Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu. Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing.

Fakta Panglima Awang

Walaupun asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih samar-samar malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui, terdapat satu catatan yang ditulis oleh Pigafetta yang mengatakan Panglima Awang sebenarnya berasal dari Sumatera ( anak Minangkabau ) dan ini ada tercatat dalam trombo Minangkabau walau pun bukan disebut sebagai Panglima Awang. 

‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing di dunia. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Pigafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu. Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu Islam ini dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.

Kita melihat bagaimana liciknya musuh-musuh Islam dalam menutup kewibawaan seorang Melayu Islam yang pertama membuktikan bumi itu bulat. Kita juga melihat kurangnya usaha daripada pihak kerajaan untuk mengangkat kembali sejarah gemilang ini supaya menjadi tatapan masyarakat kini. Sistem pendidikan kita sendiri pun terlalu mengagungkan-agungkan bangsa barat dan menggambarkan tamadun barat adalah tamadun yang jauh lebih bertamadun daripada kita sejak dahulu,kini dan selamanya.

Nah !!! Bagaimana umat Melayu Islam mahu bangkit jika asyik dibuai lena dan propaganda berterusan begini ???



Tiada ulasan: